Rombongan pengantin Juara Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia musim ketiga


Homestay Harmoni merupakan salah satu homestay yang telah dipilih sebagai tempat penginapan rombongan pengantin. Kisah lanjut berkenaan dengan pengantin Juara Gerbang Cinta adalah seperti berikut:

BATU PAHAT 10 Jun - Cinta 'utara dan selatan' yang terjalin sejak enam tahun lalu membawa ke jenjang pelamin hari ini buat juara Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3, Nor Syafiqah Mohamed, 25, dan Mohd. Firdaus Mohd. Fauzi, 27.


Majlis persandingan berkonsep dalam taman, antara Mohd. Firdaus yang berasal dari Perlis dan Nor Syafiqah berlangsung meriah di kediaman keluarga pengantin perempuan di Parit Kemang Tengah, Senggarang, di sini hari ini.

Nor Syafiqah yang masih dalam pengajian di peringkat Sarjana Kejuruteraan Elektrik dan pasangannya yang merupakan jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kelantan, kelihatan segak dan menawan dalam busana pengantin gaya Inggeris rona putih gading.

Busana rekaan Dios Astana Bridal yang tetap mengekalkan ciri kemelayuan dan gaya muslimah menyerlahkan aura pengantin, sepadan dengan konsep persandingan dalam taman.

Sementara itu, Nor Syafiqah berkata, dia mula berkenalan dengan Mohd. Firdaus ketika kedua-duanya masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan dia tertarik dengan ketegasan serta ciri-ciri kepimpinan pasangannya itu.

"Bagaimanapun dalam ketegasannya, abang (Mohd. Firdaus) menangis kesyukuran apabila saya memaklumkan menerusi telefon tentang kemenangan kami dalam peraduan Gerbang Cinta," katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Jaaffar Hashim; Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri, Jalaludin Abd. Aziz; Penolong Ketua Pengarang II Utusan, Ahmad Abdul Hamid dan Pengarang Mega, Aznan Bakar.
Pasangan pengantin baru bersama bersama kereta Proton Saga yang merupakan sebahagian hadiah hasil menjuarai Peraduan Gerbang Cinta Musim ke-3.
Pada hari berbahagia itu, Mohd. Puad turut meluangkan masa menepung tawar kedua mempelai manakala Jaaffar Ahmad turut makan beradat bersama pengantin selepas mereka berdua selamat diijabkabul terlebih dahulu oleh Ketua Bahagian Pengurusan Masjid merangkap Ketua Nikah Mukim 10, Arbain Idris di rumah pengantin perempuan, semalam.

Pasangan itu muncul juara daripada 10,000 peserta yang menyertai Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Musim Ke-3, sekali gus memenangi tajaan pakej perkahwinan bernilai RM100,000, sebuah kereta Proton Saga SE, wang tunai RM5,000, barang kemas, barang elektrik, set sofa dan rawatan spa.


Peraduan itu menyaksikan penyertaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai penaja utama, manakala penaja-penaja lain termasuk Mastar Catering (jamuan dan kelengkapan), Kampung Pengantin (lokasi dan jamuan) dan Precious Moments (pelamin).

Turut menaja, D'Sayang Entertainment (sistem bunyi dan fotografi), Dios Astana Bridal (busana pengantin), Afidah Khamis Makeup and Stuff (jurusolek), Sri Sutra Travel (pakej bulan madu), CJ Print (kad perkahwinan), Suri Permai Spa (rawatan spa) dan Utusan Online (laman sesawang rasmi peraduan).
Sumber: Utusan Malaysia